Nikah Cerai Rujuk

Nikah Cerai Rujuk

Seringkali kita mendengar masalah rumahtangga adalah disebabkan pasangan berlaku curang ataupun masuk campur oleh keluarga sehingga boleh menyebabkan keruntuhan rumahtangga.

Orang ketiga dalam rumahtangga boleh jadi sesiapa sahaja adapun termasuk keluarga, sahabat dan masyarakat sekeliling. Secara kebiasaannya, mereka yang dikatakan orang ketiga ini bertindak secara memujuk atau menggoda lelaki atau perempuan yang sudah berkahwin, menghalang pasangan suami atau isteri daripada hidup sebagai suami dan isteri yang sah dan menghasut suami atau iseri supaya meninggalkan rumahtangga dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri.

PERLINDUNGAN UNDANG-UNDANG

Tidak terdapat peruntukan yang khusus mengaitkan pihak ketiga atas pembabitan secara langsung atau tidak langsung sehingga menyebabkan berlakunya perceraian. Namun ianya wujud di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang ada memperuntukkan berkaitan orang ketiga.

Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami.

Mana-mana orang yang memujuk lari seseorang perempuan bersuami atau membawanya pergi atau dengan apa-apa cara lain mempengaruhinya supaya meninggalkan rumahtangga yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan supaya perempuan bersuami itu kembali kepada suaminya.


Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah dengan sah daripada hidup sebagai suami isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.

Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan atau tanggungjawabnya kepada isteri atau suami atau keluarganya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL

-Membuat aduan di Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, jabatan agama Islam negeri yang berdekatan.

-Menjelaskan bentuk gangguan atau hubungan pasangan dengan orang ketiga dan kesannya terhadap rumah tangga.

-Mengemukakan bukti kukuh dalam bentuk dokumen atau saksi mengenai gangguan orang ketiga.

-Aduan yang dibuat oleh mangsa akan disiasat secara terperinci oleh Pegawai Penguatkuasa dan jika ada bukti kes akan didakwa di Mahkamah Syariah.

 -Jika disabitkan bersalah, orang ketiga tersebut akan dikenakan hukuman yang telah ditetapkan dalam undang-undang berkaitan.